PENGENALAN
1.1 Sejarah Perburuhan
Pada
zaman dahulu, hubungan antara majikan dengan pekerja tidak diliputi oleh
sebarang undang-undang buruh yang jelas. Akibatnya pihak majikan mempunyai
kuasa yang tidak terkawal dan mereka bebas melakukan sesuatu dengan sesuka hati
terhadap golongan pekerja. Penindasan dan ketidakadilan adalah sinonim pada zaman
itu. Golongan pekerja ini lebih dianggap sebagai seorang hamba abdi kerana
nasib dan masa depan mereka terletak secara mutlak di tangan majikan.
Namun
yang demikian, apabila berlaku revolusi industri di Benua Eropah, ianya telah
mula membangkitkan rasa kesedaran di kalangan golongan pekerja dalam menuntut
hak mereka dan pengaruhnya telah merebak ke negara-negara lain di seluruh
dunia. Sebagai contoh di Negara Britain, golongan pekerja telah menjadi satu
kumpulan yang kuat sehinggakan mereka dapat menguasai dunia politik tempatan
dengan tertubuhnya Parti Buruh. Sejarah terlakar di mana Parti Buruh ini pernah
menerajui pemerintahan Negara Britain. Lama-kelamaan, undang-undang buruh telah
mula diperkenalkan dan hubungan di antara majikan dan golongan pekerja ini
dikawal olehnya.
1.2 Sejarah Awal Perburuhan Di
Tanah Melayu
Perkembangan
undang-undang buruh di Malaysia bermula apabila ramai buruh Cina dan India
dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di lombong bijih dan ladang getah. Dua
sektor pekerjaan ini berkembang dengan pesat di Tanah Melayu dan guna pakai tenaga
buruh turut bertambah. Orang Inggeris bertanggungjawab membawa buruh Cina dan
India ini ke Tanah Melayu melalui ejen tertentu. Pada fasa permulaan, buruh
Cina ini perlu mengikat kontrak untuk bekerja di lombong bijih bagi suatu
tempoh masa sebelum mereka dibebaskan untuk mencari pekerjaan lain. Namun yang
demikian, sebahagian dari upah mereka perlu dipotong atas alasan membayar balik
kos bagi membawa mereka masuk ke Tanah Melayu. Suasana bekerja pada masa itu
sangat buruk dan berlakunya penindasan ke atas mereka.
Keadaan serupa juga berlaku pada
buruh India. Majoriti dari mereka berasal dari India Selatan. Mereka
ditempatkan untuk bekerja di ladang getah, ladang kopi dan juga ladang tebu serta
terikat di bawah satu sistem perjanjian di mana mereka perlu bekerja selama dua
atau tiga tahun di ladang-ladang tersebut. Sebahagian dari mereka terus kekal
bekerja di ladang-ladang dan sebahagiannya lagi telah beralih ke bidang
pekerjaan lain terutamanya di sektor kerajaan.
Pada
ketika itu tiada undang-undang yang khusus bertujuan melindungi buruh Cina dan
India ini. Cara yang digunakan oleh pihak Inggeris ialah dengan melantik
seorang ketua di kalangan kaum itu sendiri untuk menguruskan hal-ehwal
berkaitan mereka. Sebagai contoh, pada tahun 1877, seorang ‘Pelindung Orang
Cina’ telah dilantik di Negeri-Negeri Selat bagi menjaga hal-ehwal buruh Cina
dan memastikan tiada penindasan berlaku terhadap mereka.
Pada
umumnya, undang-undang (Ordinan) buruh yang telah digubal dalam abad ke-19 dan
awal abad ke-20 adalah sebahagian besarnya menyentuh tentang imigrasi, syarat-syarat
kerja bagi kemasukan buruh paksa, perumahan, keadaan kesihatan dan kemudahan. Pada
tahun 1912, Jabatan Buruh telah ditubuhkan di Negeri-Negeri Selat dan
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Satu Kanun Buruh (Labour Code) telah digubal
bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1912 dan bagi Negeri-Negeri
Selat pada tahun 1920. Ianya terpakai bagi semua buruh, namun rujukan utama
tertumpu pada buruh Cina di sektor perlombongan bijih dan buruh India di sektor
perladangan.
Pada
tahun 1939, pihak Inggeris melalui Setiausaha bagi Tanah Jajahan United Kingdom
(UK), Passfield telah membuat
cadangan bagi mewujudkan undang-undang berkaitan buruh di Tanah Melayu. Di
antara tahun 1940 sehingga 1941, undang-undang berkaitan kesatuan sekerja dan
mahkamah perusahaan telah diluluskan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan
Negeri-Negeri Selat. Namun pada tahun 1941 sehingga tahun 1945
penguatkuasaannya tergendala akibat dari penaklukan tentera Jepun di Tanah
Melayu. Sewaktu era pendudukan tentera Jepun, para pekerja dikawal di bawah
‘Perkhidmatan Buruh Tentera’.
Sekembalinya
Pentadbiran Tentera British (British Military Administration), situasi ekonomi
dan sosial di Tanah Melayu amat teruk akibat dari kekurangan sumber makanan dan
kemudahan asas. Kesempatan ini telah dieksploitasikan oleh ‘Kesatuan Buruh Am’
(GLU) yang di bawah pengaruh Komunis bagi menimbulkan kegelisahan buruh. Akibatnya
tindakan mogok oleh para pekerja semakin menjadi-jadi. Direkodkan pada tahun
1947 sahaja, berlaku sebanyak 291 kes mogok yang melibatkan seramai 69,217
orang pekerja. Pihak kerajaan British telah mengambil beberapa langkah dalam
usaha untuk menyekat seterusnya menghapuskan pengaruh Parti Komunis Malaya
antaranya penguatkuasaan semula ‘Enakmen Kesatuan Sekerja 1940’ yang telah
digubal sebelum perang meletus. Pada tahun 1946, ‘Enakmen Kesatuan Sekerja
1940’ telah diperluaskan ke seluruh Malaya dan pada tahun itu juga Malayan
Union telah ditubuhkan oleh pihak kerajaan British.
Pada tahun 1948, Parti Komunis Malaya telah
diharamkan dan darurat telah diisytiharkan. Pada tahun itu juga Persekutuan
Tanah Melayu telah dibentuk. Seterusnya Ordinan Mahkamah Perusahaan 1940 dan
Ordinan Pertikaian Perusahaan 1941 dimansuh dan diganti dengan Ordinan Mahkamah
Perusahaan 1948 dan Ordinan Pertikaian Perusahaan 1949. Pada tahun 1965, kedua-dua
ordinan tersebut telah dipinda untuk kali yang terakhir sebelum dimansuh dan
diserapkan ke dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Sehingga kini, 14 statut
atau undang-undang buruh telah digubal di Malaysia. Ianya berbeza-beza dari
segi objektif, isi kandungan, umur dan liputannya. Sebahagiannya telah digubal
sebelum penubuhan Negara Malaysia pada tanggal 16hb September 1963 dan
sebahagiannya terpakai bagi seluruh Negara Malaysia dan ada juga yang hanya terpakai
terhad di Semenanjung Malaysia sahaja, Negeri Sabah sahaja dan Negeri Sarawak
sahaja. Undang-undang ini pula dapat dikategorikan dalam beberapa kumpulan
iaitu mengenai :-
·
Pekerjaan
·
Upah
·
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
·
Kebajikan Sosial Pekerja
·
Kesatuan Sekerja dan
·
Penyelesaian Pertikaian
Berikut
pula adalah senarai undang-undang buruh yang ada di Negara Malaysia :-
1. Akta
Majlis Upah atau Majlis Penetapan Gaji 1947
2. Akta
Cuti Mingguan 1950
3. Akta
Pampasan Pekerja 1952
4. Akta
Maklumat Pekerjaan 1953
5. Akta
Kerja 1955
6. Ordinan
Tabung Buruh India Selatan 1958
7. Akta
Kesatuan Sekerja 1959
8. Akta
(Penggajian) Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966
9. Akta
Perhubungan Perusahaan 1967
10. Akta
(Sekatan) Pekerjaan 1968
11. Akta
Keselamatan Sosial Pekerja 1969
12. Akta
Agensi Pekerjaan Swasta 1981
13. Akta
(Taraf Minimum Perumahan) Pekerja 1966 sekarang
Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990
14. Akta
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1951 (1991)
15. Akta
Kilang dan Jentera 1967 sekarang Akta
Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan 1994
Gambar 1 : Kerja-kerja
perlombongan bijih yang dilakukan oleh buruh Cina di awal Abad ke – 20 di Tanah
Melayu
Gambar 2 : Kerja-kerja
perlombongan bijih yang giat dijalankan pada zaman dahulu di Tanah Melayu
Gambar 3 : Kerja-kerja
mengumpul susu getah yang dilakukan oleh buruh India pada zaman dahulu di Tanah
Melayu
Gambar 4 : Peta Tanah Melayu pada tahun 1922
(Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dalam warna biru, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam warna kuning dan Negeri-Negeri Selat dalam warna merah)
(Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dalam warna biru, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam warna kuning dan Negeri-Negeri Selat dalam warna merah)
Gambar 5 : Pejabat Parti Komunis Malaya (PKM) yang
telah diharamkan di Tanah Melayu
No comments:
Post a Comment