Monday, 23 September 2013

Sejarah Awal Perburuhan Di Tanah Melayu



PENGENALAN

1.1 Sejarah Perburuhan
Pada zaman dahulu, hubungan antara majikan dengan pekerja tidak diliputi oleh sebarang undang-undang buruh yang jelas. Akibatnya pihak majikan mempunyai kuasa yang tidak terkawal dan mereka bebas melakukan sesuatu dengan sesuka hati terhadap golongan pekerja. Penindasan dan ketidakadilan adalah sinonim pada zaman itu. Golongan pekerja ini lebih dianggap sebagai seorang hamba abdi kerana nasib dan masa depan mereka terletak secara mutlak di tangan majikan.  
Namun yang demikian, apabila berlaku revolusi industri di Benua Eropah, ianya telah mula membangkitkan rasa kesedaran di kalangan golongan pekerja dalam menuntut hak mereka dan pengaruhnya telah merebak ke negara-negara lain di seluruh dunia. Sebagai contoh di Negara Britain, golongan pekerja telah menjadi satu kumpulan yang kuat sehinggakan mereka dapat menguasai dunia politik tempatan dengan tertubuhnya Parti Buruh. Sejarah terlakar di mana Parti Buruh ini pernah menerajui pemerintahan Negara Britain. Lama-kelamaan, undang-undang buruh telah mula diperkenalkan dan hubungan di antara majikan dan golongan pekerja ini dikawal olehnya.

1.2 Sejarah Awal Perburuhan Di Tanah Melayu
            Perkembangan undang-undang buruh di Malaysia bermula apabila ramai buruh Cina dan India dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di lombong bijih dan ladang getah. Dua sektor pekerjaan ini berkembang dengan pesat di Tanah Melayu dan guna pakai tenaga buruh turut bertambah. Orang Inggeris bertanggungjawab membawa buruh Cina dan India ini ke Tanah Melayu melalui ejen tertentu. Pada fasa permulaan, buruh Cina ini perlu mengikat kontrak untuk bekerja di lombong bijih bagi suatu tempoh masa sebelum mereka dibebaskan untuk mencari pekerjaan lain. Namun yang demikian, sebahagian dari upah mereka perlu dipotong atas alasan membayar balik kos bagi membawa mereka masuk ke Tanah Melayu. Suasana bekerja pada masa itu sangat buruk dan berlakunya penindasan ke atas mereka.
            Keadaan serupa juga berlaku pada buruh India. Majoriti dari mereka berasal dari India Selatan. Mereka ditempatkan untuk bekerja di ladang getah, ladang kopi dan juga ladang tebu serta terikat di bawah satu sistem perjanjian di mana mereka perlu bekerja selama dua atau tiga tahun di ladang-ladang tersebut. Sebahagian dari mereka terus kekal bekerja di ladang-ladang dan sebahagiannya lagi telah beralih ke bidang pekerjaan lain terutamanya di sektor kerajaan.
Pada ketika itu tiada undang-undang yang khusus bertujuan melindungi buruh Cina dan India ini. Cara yang digunakan oleh pihak Inggeris ialah dengan melantik seorang ketua di kalangan kaum itu sendiri untuk menguruskan hal-ehwal berkaitan mereka. Sebagai contoh, pada tahun 1877, seorang ‘Pelindung Orang Cina’ telah dilantik di Negeri-Negeri Selat bagi menjaga hal-ehwal buruh Cina dan memastikan tiada penindasan berlaku terhadap mereka.
Pada umumnya, undang-undang (Ordinan) buruh yang telah digubal dalam abad ke-19 dan awal abad ke-20 adalah sebahagian besarnya menyentuh tentang imigrasi, syarat-syarat kerja bagi kemasukan buruh paksa, perumahan, keadaan kesihatan dan kemudahan. Pada tahun 1912, Jabatan Buruh telah ditubuhkan di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Satu Kanun Buruh (Labour Code) telah digubal bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1912 dan bagi Negeri-Negeri Selat pada tahun 1920. Ianya terpakai bagi semua buruh, namun rujukan utama tertumpu pada buruh Cina di sektor perlombongan bijih dan buruh India di sektor perladangan.
Pada tahun 1939, pihak Inggeris melalui Setiausaha bagi Tanah Jajahan United Kingdom (UK), Passfield telah membuat cadangan bagi mewujudkan undang-undang berkaitan buruh di Tanah Melayu. Di antara tahun 1940 sehingga 1941, undang-undang berkaitan kesatuan sekerja dan mahkamah perusahaan telah diluluskan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. Namun pada tahun 1941 sehingga tahun 1945 penguatkuasaannya tergendala akibat dari penaklukan tentera Jepun di Tanah Melayu. Sewaktu era pendudukan tentera Jepun, para pekerja dikawal di bawah ‘Perkhidmatan Buruh Tentera’.
Sekembalinya Pentadbiran Tentera British (British Military Administration), situasi ekonomi dan sosial di Tanah Melayu amat teruk akibat dari kekurangan sumber makanan dan kemudahan asas. Kesempatan ini telah dieksploitasikan oleh ‘Kesatuan Buruh Am’ (GLU) yang di bawah pengaruh Komunis bagi menimbulkan kegelisahan buruh. Akibatnya tindakan mogok oleh para pekerja semakin menjadi-jadi. Direkodkan pada tahun 1947 sahaja, berlaku sebanyak 291 kes mogok yang melibatkan seramai 69,217 orang pekerja. Pihak kerajaan British telah mengambil beberapa langkah dalam usaha untuk menyekat seterusnya menghapuskan pengaruh Parti Komunis Malaya antaranya penguatkuasaan semula ‘Enakmen Kesatuan Sekerja 1940’ yang telah digubal sebelum perang meletus. Pada tahun 1946, ‘Enakmen Kesatuan Sekerja 1940’ telah diperluaskan ke seluruh Malaya dan pada tahun itu juga Malayan Union telah ditubuhkan oleh pihak kerajaan British.
Pada tahun 1948, Parti Komunis Malaya telah diharamkan dan darurat telah diisytiharkan. Pada tahun itu juga Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk. Seterusnya Ordinan Mahkamah Perusahaan 1940 dan Ordinan Pertikaian Perusahaan 1941 dimansuh dan diganti dengan Ordinan Mahkamah Perusahaan 1948 dan Ordinan Pertikaian Perusahaan 1949. Pada tahun 1965, kedua-dua ordinan tersebut telah dipinda untuk kali yang terakhir sebelum dimansuh dan diserapkan ke dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Sehingga kini, 14 statut atau undang-undang buruh telah digubal di Malaysia. Ianya berbeza-beza dari segi objektif, isi kandungan, umur dan liputannya. Sebahagiannya telah digubal sebelum penubuhan Negara Malaysia pada tanggal 16hb September 1963 dan sebahagiannya terpakai bagi seluruh Negara Malaysia dan ada juga yang hanya terpakai terhad di Semenanjung Malaysia sahaja, Negeri Sabah sahaja dan Negeri Sarawak sahaja. Undang-undang ini pula dapat dikategorikan dalam beberapa kumpulan iaitu mengenai :-

·         Pekerjaan
·         Upah
·         Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
·         Kebajikan Sosial Pekerja
·         Kesatuan Sekerja dan
·         Penyelesaian Pertikaian

Berikut pula adalah senarai undang-undang buruh yang ada di Negara Malaysia :-

1.  Akta Majlis Upah atau Majlis Penetapan Gaji 1947
2.  Akta Cuti Mingguan 1950
3.  Akta Pampasan Pekerja 1952
4.  Akta Maklumat Pekerjaan 1953
5.  Akta Kerja 1955
6.  Ordinan Tabung Buruh India Selatan 1958
7.  Akta Kesatuan Sekerja 1959
8.  Akta (Penggajian) Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966
9.  Akta Perhubungan Perusahaan 1967
10.  Akta (Sekatan) Pekerjaan 1968
11.  Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969
12.  Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981
13.  Akta (Taraf Minimum Perumahan) Pekerja 1966 sekarang Akta Standard-Standard Minimum  Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990
14.  Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1951 (1991)
            15.  Akta Kilang dan Jentera 1967 sekarang Akta Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan 1994


 
Gambar 1 : Kerja-kerja perlombongan bijih yang dilakukan oleh buruh Cina di awal Abad ke – 20 di Tanah Melayu
 
Gambar 2 : Kerja-kerja perlombongan bijih yang giat dijalankan pada zaman dahulu di Tanah Melayu
 
Gambar 3 : Kerja-kerja mengumpul susu getah yang dilakukan oleh buruh India pada zaman dahulu di Tanah Melayu

 
Gambar 4 : Peta Tanah Melayu pada tahun 1922
(Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dalam warna biru, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam warna kuning dan Negeri-Negeri Selat dalam warna merah)
 
Gambar 5 : Pejabat Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah diharamkan di Tanah Melayu